Rabu, 8 Mac 2017

Ibubapa Cerminan Anak- Anak



Semua Ibubapa inginkan anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Tekanan inilah yang menyebabkan ibubapa akan berusaha menyediakan pelalajaran yang terbaik untuk anaknya.

 Antaranya mereka akan memilih Tuisyen yang terbaik untuk anak  beliau walaupun agak mahal sedikit. inilah pengorbanan ibubapa demi melihat anak-anak mereka berjaya dengan baik & cemerlang.

IBU BAPA adalah insan paling dekat dengan anak-anak Jadi, tidak hairanlah jika mereka memberi pengaruh besar kepada anak-anak terutama yang masih kecil sama ada dari segi tingkah laku mahupun pertuturan.
Sering kita mendengar kata-kata kurang sesuai ditutur si kecil, walhal mereka sebenarnya tidak mengetahui akan maksudnya. Tanpa disedari perkataan tersebut diucapkan mungkin selepas sering kali mendengar ibu bapa menuturkannya.
Dalam hubungan ini, ibu bapa perlu sedar akan peranan besar mereka dalam mencorak kehidupan anak sejak dalam kandungan lagi, selain menunjukkan contoh yang baik kepada si kecil.
Ini ditegaskan sendiri oleh Timbalan Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Salida Nik Salleh ketika menyampaikan ceramah bertajuk Motivasi Akhlak Sahsiah Terpuji pada kursus Ilmu Keluarga@LPPKN: Anakku Kalian Segalanya, di ibu negara, baru-baru ini.
Beliau berkata, ibu bapa adalah umpama cermin kepada anak-anak sama ada dari segi
  •  kata-kata
  • intonasi suara
  • ekspresi muka
  •  perbuatan.

“Sebagai ibu bapa, kita perlu sedar kanak-kanak amat mudah menerima sesuatu perbuatan atau perkataan dan hanya ibu bapa dengan naluri keibubapaan boleh mendidiknya.
“Positif atau negatif pemikiran si anak bergantung kepada intonasi dan ekspresi wajah kedua-dua orang tua mereka. Dengan kata ringkas, tingkah laku anak-anak cerminan kepada tingkah laku ibu bapanya,’’ ujarnya.
Menurut Nik Salida, memandangkan dunia hari ini menjadi semakin mencabar berbanding 10 atau 15 tahun lalu, ibu bapa perlu membuat perancangan lebih mantap untuk membekalkan anak dengan segala ilmu dunia, akhirat, ibadat dan akidah agar mereka menjadi insan gemilang pada masa depan.
Rumah menurut beliau, adalah sekolah pertama bagi anak manakala ibu bapa adalah guru pertama mereka. Jadi ibu bapa perlu menyemai nilai kerohanian anak sejak kecil lagi.
Memantapkan diri
“Oleh kerana ilmu keibubapaan tidak diajar di mana-mana universiti dan hanya belajar setelah menjadi ibu bapa, jadi untuk memantapkan diri anak, ibu bapa perlu memulakan dari peringkat mereka kecil lagi supaya tidak terlambat,’’ tegasnya lagi.
Perilaku yang baik bermula dari rumah manakala rosak atau terpesong akidah anak juga dari sana. Membentuk dan mengajar anak bukannya senang, namun ibu bapa itu sendiri perlu faham cara penyampaian dan aplikasi pengajaran yang betul.
Justeru, ibu bapa yang taat pada agama seharusnya mewariskan ilmu amalannya seperti menjaga solat, berpuasa wajib dan sunat, bersedekah serta belajar al-Quran sebagai benteng, selain bekalan utama buat si anak mengharungi dunia penuh pancaroba.
Menarik perhatian terhadap situasi yang berlaku pada hari ini, beliau berkata, ramai ibu bapa hari ini mampu memberi pendidikan formal yang baik, kemewahan harta, memanjakan anak dan memilih guru tuisyen terbaik, tetapi tidak ramai mampu memberi pendidikan agama sempurna, mengajar al-Quran, menjadi imam solat mahupun mengajarkan solat kepada anak.
Apa yang menyedihkan kebanyakan ibu bapa menyerahkan tanggungjawab berkenaan sepenuhnya kepada pihak sekolah dengan alasan terlalu sibuk bekerja. Malah, ada yang beranggapan menyediakan keperluan makan, minum serta kemewahan sudah mencukupi sehingga lupa dengan tanggungjawab sebenar.
“Ramai ibu bapa moden hari ini lebih mementingkan pendidikan formal berbanding pendidikan agama yang sempurna sehingga terlupa tanggungjawab sebenar mereka sebagai insan yang akan membentuk masa depan si kecil,” kata Nik Salida.
Tambah beliau, kesibukan tugas bukan menjadi alasan kepada ibu bapa untuk mengabaikan perhatian kepada anak.
Sebaliknya, ibu bapa perlu bijak membahagikan masa agar dapat mengimbangi antara tanggungjawab mendidik anak dan mencari rezeki.
Pada masa sama, katanya, perilaku Rasulullah SAW wajar dijadikan contoh terbaik masyarakat, malah akhlak dan pekerti mulia baginda tidak harus dibiar hilang.
Baginda bersopan santun terhadap sesama mukmin, tegas terhadap orang kafir, seorang suami yang baik, ayah yang penyayang dan datuk yang pengasih.
Banyak amalan Nabi boleh dijadikan panduan kepada ibu bapa seperti mencium anak pada keningnya, menggunakan pendekatan nasihat Luqman Hakim (nasihat baik), berbicara mengikut tahap pemikiran si anak dan berusaha memenuhi janji kepada mereka.
“Mendidik anak-anak pada zaman serba mencabar ini memerlukan ibu bapa sentiasa bersedia dengan pelbagai ilmu mengenai kaedah terbaik untuk mendidik zuriat masing-masing.
“Sekiranya tiada asas untuk dipraktikkan, tidak mustahil zuriat diharapkan mampu menjadi cemerlang bakal kecundang sekali gus meranapkan impian ibu bapa dan negara,’’ ujarnya.
Oleh kerana itu, ibu bapa seharusnya menjalankan tanggungjawab mereka dengan cara yang terbaik dan mempunyai ilmu pengetahuan secukupnya terutama dari sudut kejiwaan dan kepekaan semasa.

Tiada ulasan:

LINK TELEGRAM NOTA PEMBELAJARAN

  https://t.me/notapembelajaran