==========================================================================
====================================================================
APAKAH PERANAN IBUBAPA DALAM MEMBANTU ANAK-ANAK MENCAPAI KEJAYAAN ???
==========================================================================
Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga. Sebagai anak, seseorang itu memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Dengan bantuan dan doa daripada ibu bapa, anak-anak mampu mencipta kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang amat besar terhadap anak-anak dan rumah tangga. Sekiranya, ibu bapa sering mengabaikan anak-anak, anak-anak pasti berasa dirinya terabai dan mereka akan melibatkan diri dalam kegiatan gejala sosial yang tidak baik. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlulah bertanggungjawab dan memastikan anak-anaknya cemerlang dalam pelajaran. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran?
Peranan pertama yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang ialah ibu bapa mengutamakan iklim rumah tangga yang dibina dalam situasi yang aman dan bahagia.Anak kunci keamanan dan kebahagiaan rumah tangga ialah sikap saling memahami, berkasih sayang dan tambatan cinta yang luhur dan abadi. Keharmonian dan keceriaan rumah tangga menjamin anak-anak membesar dengan selamat dan sihat.
Hal ini demikian kerana, kehidupan yang bahagia akan membebaskan anak-anak daripada masalah keluarga seperti pertengkaran antara ibu bapa atau ibu bapa yang berpecah-belah. Perpecahan keluarga boleh mengganggu kesejahteraan dan pelajaran anak-anak. Dalam hal ini, peranan ibu bapa penting dalam mewujudkan rumah tangga yang bahagia agar anak-anak dapat menganggap “rumahku syurgaku”. Anak-anak sudah pasti dapat berusaha bersungguh-sungguh tanpa gangguan dalam pelajaran kerana mereka hidup dalam keadaan gembira tanpa ada tekanan yang berat. Tegasnya, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak membesar dalam suasana yang harmoni dan ceria sepanjang masa bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Selain itu, ibu bapa juga perlulah bertanggungjawab mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan masa depan anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuan kerana remaja mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama.
Anak-anak lebih mempercayai dan meyakini kawan daripada ibu bapa sehingga mereka sukar untuk membezakan antara perkara baik dengan perkara yang buruk. Apabila anak-anak bergaul dengan rakan yang bermasalah seperti ponteng sekolah dan menghisap rokok, mereka juga akan mengikut jejak rakan sebaya itu dan hilang minat untuk belajar. Untuk menangani hal ini, ibu bapa mestilah mengenali latar belakang setiap rakan sebaya anak mereka dan mengenal pasti perubahan yang berlaku kepada anak-anak mereka pada setiap masa.
Ibu bapa perlulah bertindak lebih awal, bak kata pepatah beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis kerana anak-anak dapat diselamatkan dan boleh memberikan tumpuan terhadap kecemerlangan dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya bagi melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama dan moral yang secukupnya. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan sejak kecil lagi, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut. Pendidikan agama dan moral yang diberikan oleh ibu bapa mampu menepis segala bentuk kemungkaran yang berlaku.
Anak-anak akan dapat membezakan perkara yang baik dan yang buruk. Mereka juga akan menjadi anak-anak yang lebih bertanggungjawab dan memahami peranan mereka sebagai seorang anak dan tidak akan menghampakan harapan ibu bapa. Hasil didikan agama dan moral yang cukup ini dapat membantu anak-anak untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah memberikan didikan agama yang secukupnya untuk memastikan anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk anak-anak belajar supaya anak-anak boleh memberikan tumpuan terhadap pelajaran. Ibu bapa perlu memberi motivasi dan galakan terhadap anak-anak untuk belajar. Dalam hal ini, ibu bapa perlulah menjadi contoh teladan yang baik terhadap anak-anak kerana anak-anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka bak kata pepatah, bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Ibu bapa perlulah menitikberatkan pelajaran anak-anak dengan menghantar anak-anak ke kelas tambahan atau tuisyen serta menyediakan buku-buku rujukan yang lengkap untuk memudahkan anak-anak mengulang kaji pelajaran di rumah. Selain itu, ibu bapa juga perlulah menyediakan bilik yang sesuai dan selesa untuk kemudahan anak-anak belajar. Ibu bapa perlulah menggalakkan anak-anak membaca untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Oleh itu, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke pameran buku, ke kedai buku atau ke perpustakaan. Langkah ini penting kerana secara tidak langsung anak-anak telah ditanamkan dengan sikap suka membaca. Situasi ini boleh menimbulkan persaingan dalam diri anak-anak untuk membaca buku-buku tersebut. Natijahnya, anak-anak akan mempunyai kesedaran dan keinsafan betapa pentingnya pengetahuan dalam kehidupan mereka sehingga mereka berusaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Tambahan lagi, ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dan berbincang dengan pihak sekolah serta bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru tentang anak-anak. Untuk mengetahui perkembangan pelajaran dan sahsiah anak-anak di sekolah, ibu bapa perlulah sentiasa berhubung dengan pihak sekolah terutama guru kelas dan guru disiplin. Usaha ini penting kerana jika anak-anak menghadapi masalah dalam pelajaran atau masalah disiplin, ibu bapa boleh bertindak segera untuk menangani masalah tersebut. Dalam hal ini, anak-anak pasti dapat diselamatkan daripada dipengaruhi oleh rakan sebaya yang tidak sihat.
Selain itu, ibu bapa juga perlu sentiasa mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anak-anak walaupun dalam kesibukan bekerja. Ibu bapa mestilah bersedia menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak setiap kali anak-anak meluahkan masalah mereka. Masalah dan kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama agar perasaan tersebut tidak akan terpendam yang akan menjadi satu tekanan dalam diri anak-anak. Biasanya, anak-anak yang memendam perasaan, pasti tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran dan akhirnya mereka akan keciciran dalam pelajaran. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa perlu mengambil berat tentang masalah anak-anak mereka dalam pelajaran dan selalu berbincang dengan guru-guru lain agar anak-anak mendapat pedoman dan boleh memberikan tumpuan untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Daripada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak sebelum nasi menjadi bubur.
Sekiranya ibu bapa kurang memberikan perhatian terhadap masa depan anak-anak, anak-anak pasti sukar untuk mencapai kejayaan dan kemungkinan mereka terjebak dalam masalah sosial sehingga sukar untuk diselamatkan. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan masa depan anak-anak khususnya untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran.
#TUISYEINDIVIDU
#TUISYENINDIVIDUHOMETUITION
#TUISYENINDIVIDUDIKELANTAN
#TUISYENCLASSIX
Tiada ulasan:
Catat Ulasan