Khamis, 24 Mei 2018

KATA NAMA

KATA NAMA
****************

Hasil Pembelajaran

Pada akhir pelajaran, murid-murid dapat

1. Membezakan kata nama am dan kata nama khas dalam petikan.
2. Menyenaraikan kata nama am dan kata nama khas yang terdapat dalam petikan.
3. Membina ayat dengan menggunakan kata nama am dan kata nama khas.

Penggolongan Kata Nama

Golongan kata nama dikelompokkan kepada tiga kumpulan.

i) Kata Nama Am
ii) Kata Nama Khas
iii) Kata Ganti Nama

Kata Nama Am:

Kata Nama Am ialah perkataan yang merujuk kepada benda-benda atau perkara-perkara yang umum sifatnya. Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, kata nama am dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu kata nama am abstrak dan kata nama am konkrit.

Contohnya:

Kata Nama Am Abstrak: -- kedamaian, kemerdekaan.
Kata Nama Am Konkrit: -- tangan, sungai, lantai.

Kata Nama Khas:

Kata Nama Khas merujuk kepada nama ruang, binatang, tempat dan benda secara khusus. Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, kata nama khas ialah kata nama yang merujuk nama sesuatu benda yang khusus dan ejaannya berpangkalkan huruf besar. Kata nama khas terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu nama khas hidup dan kata nama khas tak hidup. Kata nama khas hidup pula terbahagi kepada dua lagi, iaitu kata nama khas hidup manusia dan kata nama khas hidup bukan manusia.

Kata Ganti Nama:

Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, Kata ganti nama dibahagikan kepada dua sub-golongan kecil, iaitu kata ganti nama tunjuk dan kata ganti nama diri.

i) Kata ganti nama tunjuk
ii) Kata ganti nama diri

Ganti nama diri pula dibahagikan kepada ganti nama diri orang dan ganti nama diri tanya. Ganti nama diri orang terdiri daripada ganti nama diri orang pertama, ganti nama diri orang kedua dan ganti nama diri orang ketiga.

Kata Ganti Nama Tunjuk:
Kata ganti nama tunjuk ialah perkataan yang menjadi pengganti pada kata nama dan mendukung maksud menunjukkan benda atau perkara yang dirujukkan itu. Ada dua kata ganti nama tunjuk iaitu ini untuk menunjukkan pada yang dekat dan itu untuk menunjukkan ada yang jauh.

Kata Ganti Nama:


Kata ganti nama diri dibahagikan kepada kata ganti nama diri pertama, kata ganti nama diri kedua dan kata ganti nama diri ketiga.





Tiada ulasan:

LINK TELEGRAM NOTA PEMBELAJARAN

  https://t.me/notapembelajaran