Khamis, 4 April 2019

biasiswa MyBrain

Pagi ini saya menjawab Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat berkenaan dengan biasiswa MyBrain.
Saya kongsikan jawapan di sini untuk pengetahuan semua pihak.
KPM pada masa ini menguruskan dua (2) jenis program tajaan Biasiswa untuk orang awam iaitu:
(1) Biasiswa MyBrain15; dan
(2) Biasiswa MyBrainSc.
Program Biasiswa MyBrain15 ditawarkan untuk pengajian peringkat Sarjana dan Ijazah Kedoktoran dalam pelbagai bidang di universiti awam (UA) dalam negara.
Penawaran terakhir Program MyBrain15 adalah pada November 2016 dan Kementerian masih meneruskan pembiayaan sejumlah 1,606 orang pelajar MyBrain15 yang masih aktif sehingga tamat tempoh penajaan pada tahun 2023.
Tajaan Biasiswa MyBrainSc adalah difokuskan untuk bidang Sains Tulen sahaja (Fizik, Matematik, Kimia dan Biologi) bagi pelbagai peringkat pengajian dari Ijazah Pertama hingga Ph.D di universiti dalam dan luar negara.
Tawaran baharu Program MyBrainSc masih diteruskan seperti biasa. Iklan Biasiswa MyBrainSc telah dibuka dari 25 Januari - 10 Februari 2019 dan sesi temuduga akan bermula dari 8 sehingga 30 April 2019.
Kedua-dua program MyBrain adalah hanya subset kecil untuk menyokong objektif pelan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) untuk mencapai sasaran melahirkan 60,000 orang graduan Ph.D warga negara Malaysia menjelang tahun 2025.
Program-progam lain seperti tajaan MARA, JPA, SLAB/SLAI dan tajaan Biasiswa keguruan juga adalah antara penyumbang bagi mencapai sasaran ini.
Kementerian masih meneruskan pemberian Fundamental Research Grant Scheme (FRGS). Ianya ditawarkan kepada semua universiti awam (UA) di Malaysia.
Dana skim ini untuk tahun 2018 adalah sejumlah RM200 juta manakala untuk tahun 2019 pula ditambahkan sebanyak RM75.35 juta menjadikannya RM275.35 juta.
Pemberian geran penyelidikan ini dilihat mampu untuk melahirkan pemegang Sarjana dan Ph.D secara lebih bersasar dimana penyelia projek iaitu di kalangan profesor, pensyarah yang memantau supervisee atau pelajar seliaan mereka akan dipantau dengan lebih dekat melalui perkembangan projek penyelidikan.
Ini seterusnya akan membantu melahirkan graduan dalam tempoh pengajian seperti yang ditetapkan dalam surat tawaran universiti.

Tiada ulasan:

LINK TELEGRAM NOTA PEMBELAJARAN

  https://t.me/notapembelajaran