Ahad, 22 September 2019

Mereka bukan kurang ajar, sebaliknya kitalah yang kurang belajar

Aku pernah lihat seorang anak kecil dimarah hanya kerana mengajuk apa yang ayahnya cakap.
"Amin, masuk dalam kereta," arah si ayah.
"Amin, masuk dalam kereta," ulang si anak.
"Amin! Jangan ajuk ayah. Masuk sekarang!" kata si ayah mulai berang.
"Amin! Jangan ajuk ayah. Masuk sekarang," tiru si anak lagi.
Akhirnya si ayah menarik telinga anak ke dalam kereta. Dan si anak meraung kesakitan dengan airmata. Dan sejak itu, anak mula mendiamkan diri.
Kadang-kadang, tanpa sedar kita marahi anak kerana sangka mereka biadab. Kerana sangka mereka sengaja mempermainkan kita.
Tanpa kita sedar, anak tersebut sebenarnya ada penyakit. Anak tersebut perlukan sokongan dan bantuan. Dan kita, hanya tahu menghukum tanpa usul periksa.
Mungkin juga anak tersebut menghidap ekolalia. Ekolalia adalah satu reaksi akan mengulangi kata-kata atau ucapan orang lain.
Mereka mampu "COPY" 100% kata-kata kita dan luahkan semula masa kita bercakap atau tegur kelakuan mereka. Dan masa inilah kita sering salah sangka kepada mereka.
Masa ini kita sangka mereka sengaja. Masa ini kita merasa mereka tidak hormat. Dan masa ini kita mula marah-marah bahkan memukul mereka.
Sedangkan, mereka tidak bersalah.
Kita yang bersalah kerana tidak tahu. Kita yang bersalah kerana tidak berilmu. Kita yang bersalah kerana tidak fahami apa sebenarnya yang terjadi.
Kebiasaannya, anak-anak autisme yang menghadapi masalah ini. Aku sendiri sebenarnya baru sahaja tahu mengenai ekolalia melalui perkongsian sahabat aku, si Ucu Rizal beberapa minggu sudah.
Kini aku panjangkan kepada kalian pula kerana ilmu itu tidak seharusnya di sorok.
Mereka bukan kurang ajar, sebaliknya kitalah yang kurang belajar. Ingat tu.
Cc : #MFS (Cikgu Korea)
- Satu ilmu baru -

Tiada ulasan:

LINK TELEGRAM NOTA PEMBELAJARAN

  https://t.me/notapembelajaran