RAMAI
YANG TAK TAHU TENTANG
TIP-TIP
PSIKOLOGI PEPERIKSAAN
============================
Pernahkah
anda merasa begitu berdebar semasa peperiksaan hendak dijalankan? Jantung anda
berdegup dengan sungguh pantas. Tangan anda mula sejuk. Anda tidak boleh duduk
diam. Anda juga rasa semakin sukar untuk fokuskan fikiran anda kepada apa yang
telah anda pelajari. Apakah yang harus anda lakukan?
Ada satu
cara untuk mengurangkan debaran sebegini. Sedar tak, semasa anda resah dan
berdebar, anda bernafas dengan laju sekali? Anda bernafas kadangkala seperti
orang yang baru berlari pecut 100 meter. Bernafas dengan laju begitu
akan membuat paru-paru anda sukar untuk menyerap oksigen yang anda sedut kerana
anda sedut udara dan lepaskannya semula dalam masa yang sangat singkat.
Cara
mudah untuk menyelesaikan masalah ini ialah, pertama, duduk atau berhenti
seketika. Tarik nafas sedalam-dalamnya. Jika boleh tarik nafas panjang selama 7
saat. Kemudia tahan selama 7 saat juga (dalam masa yang sama tenangkan atau
kosongkan fikiran anda) dan kemudian lepaskan perlahan-lahan selama 7 saat
juga. Buat aktiviti ini 5 ke 10 kali.
Sebaik-baiknya
anda amalkan cara pernafasan begini semasa mengulangkaji pelajaran. Nanti
kesannya lebih baik jika anda lakukan semasa peperiksaan.
Praktikkan
cara ini insyaallah anda akan rasakan kesannya yang membuat anda lebih tenang
dan fokus.
Selamat mencuba.
Tip #1
Bahaya
menghafal di saat akhir
Sebelum
memasuki dewan peperiksaan, pasti anda pernah lihat kawan-kawan anda sibuk
membuka buku dan cuba menghafal fakta-fakta pelajaran kan? Apa pendapat anda
tentang perkara ini?
Jika
anda tanya saya, saya akan katakan bahawa ada bahayanya jika anda lakukan
perkara ini. Ini kerana, sebelum memasuki dewan peperiksaan, anda lebih mudah
panik. Katakan anda cuba menghafal sesuatu dan gagl menghafalnya, anda akan
masuk dewan peperiksaan dengan perasaan sangat gementar kerana tidak menghafal
fakta tadi. Ini mula mengganggu konsentrasi ingatan anda terhadap fakta-fakta
lain.
Akhirnya,
fakta yang anda tidak sempat hafal tadi mungkin tidak keluar langsung dalam
soalan, tetapi disebabkannya, anda lupa fakta lain yang anda telah hafal
sebelum ini. Ini semua disebabkan rasa panik dan gementar sebelum memasuki
dewan peperiksaan tadi. Jadi, berbaloikah anda membuka dan menghafal nota
disaat-saat akhir di luar dewan peperiksaan tadi?
Tip #2
Latih
kebolehan menumpukan perhatian
Apabila
kita sedang menjawab soalan di dalam dewan peperiksaan, satu kebolehan yang
amat kita perlukan ialah kebolehan untuk menumpukan perhatian. Jika kita tidak
boleh menumpukan perhatian, kita akan merasa sukar untuk mengingati apa yang
telah kita pelajari. Jika kita tidak boleh menumpukan perhatian kepada menjawab
soalan, kita juga akan mudah merasa letih dan hilang kebolehan untuk berfikir
dengan tajam.
Satu
cara untuk melatih kebolehan menumpukan perhatian ialah semasa anda melakukan
ulangkaji pelajaran. Semasa mengulangkaji, ketepikan semua jenis gangguan
seperti televisyen, radio, handphone dan cuba cari tempat yang agak tenang
seperti keadaan di dalam dewan peperiksaan. Katakan anda sedang mengulangkaji
matematik, cari soalan-soalan matematik yang anda boleh lakukan dalam masa 30
minit. Dapatkan contoh kertas peperiksaan jika boleh.
Kemudian,
duduk dengan selesa. (Duduk dengan selesa bukan bermakna anda boleh berlunjur
atau meletakkan kaki di atas meja ) Duduk seperti anda seorang pelajar
cemerlang yang sedang menjawab soalan peperiksaan. Tetapkan dalam hati (dengan
bersungguh-sungguh) bahawa anda akan menumpukan perhatian selama 30 minit untuk
melakukan latihan matematik. Kita mulakan latihan penumpuan perhatian ini
dengan 30 minit dulu. Jika anda rasa 30 minit terlalu lama, kurangkan sedikit.
Kemudian,
mula menjawab soalan-soalan itu. Gunakan segala usaha minda anda untuk menepis
sebarang jenis gangguan yang mungkin mengganggu konsentrasi anda. Mungkin dalam
masa 30 minit anda mula teringat rancangan television yang menarik
dan mungkin anda juga teringat tentang janji untuk berjumpa kawan. dalam
masa 30 minit ini, lupakan itu semua. Fokus 100 peratus perhatian anda
kepada soalan yang sedang lakukan.
Cuba
latihan sebegini beberapa kali. Setelah berjaya, tambahkan masa daripada 30
minit kepada 40, 50, 60 dan seterusnya kepada masa sebenar yang diberi untuk
menjawab kertas soalan matematik.
Dengan
berlatih begini, anda akan meningkatkan kebolehan anda untuk menumpukan
perhatian dan bertahan dalam keadaan sebegitu dengan lebih lama.
Selamat
mencuba.
Tip #3
Rehat
dengan cukup
Apabila
disebut perkataan rehat, ramai pelajar yang terbayangkan perkataan tidur. Bagi
mereka, satu-satunya cara untuk berehat adalah dengan tidur.
Sebenarnya,
tidur adalah satu cara berehat. Tetapi ada beberapa perkara lain lagi yang
boleh dilakukan untuk berehat. Contohnya, bersiar-siar di waktu petang,
beriadah ringan, membaca buku kegemaran, menonton tayangan gambar, mendengar
muzik dan sebagainya.
Ada
beberapa petua tentang memilih aktiviti untuk merehatkan otak dan badan.
Pertama, anda perlu pilih mana aktiviti yang sesuai bagi anda, bukan sesuai
bagi orang lain. Contohnya, bila anda dengar kawan anda berehat dengan membaca
buku cerita, anda juga ikut baca buku cerita. Padahal, anda rasa makin tertekan
bila membaca buku cerita. Jadi, jangan ikut orang lain, cari aktiviti yang
sesuai untuk anda sendiri.
Kedua,
aktiviti yang dipilih jangan terlalu memenatkan. Jika terlalu memenatkan, anda
akan kehilangan tenaga untuk diluangkan kepada masa mengulangkaji. Jika anda
memilih untuk beriadah, jangan terlalu memenatkan.
Ketiga,
buat aktiviti yang merehatkan otak itu dengan kadar sederhana. Jika anda
memilih untuk tidur, jangan tidur terlalu lama. Jika anda memilih untuk membaca
buku cerita atau majalah, jangan terlalu lama juga. Nanti masa anda habis dalam
membuat aktiviti ini sahaja pula.
Tip #4
Bayangkan
kesudahan menggembirakan
Peperiksaan
adalah sesuatu yang menakutkan dan menggerunkan bagi sesetengah pelajar.
Perasaan sebegini akan menjadi lebih teruk lagi jika minda pelajar itu dipenuhi
dengan imej-imej yang menunjukkan kegagalan, kesusahan, pening kepala dan
kekecewaan. Imej-imej begini dalam fikiran pelajar akan menambahkan lagi
debaran untuk menghadapi peperiksaan. Jadi, apa yang pelajar harus lakukan
untuk mengurangkan rasa debaran dan kegelisahan ini?
Satu
cara yang efektif ialah dengan membayangkan kesudahan yang menggembirakan.
Sebelum hari peperiksaan menjelang, bayangkan hari peperiksaan tersebut di
dalam minda anda. bayangkan, peperiksaan sudah berakhir, dan anda kelihatan
gembira kerana telah menjawab dengan baik. Bayangkan dengan jelas bagaimana
rupa anda ketika tersenyum selepas peperiksaan. Kemudian, rasakan perasaan
gembira yang mengiringi senyuman itu. Ini yang dimaksudkan dengan membayangkan
kesudahan yang menggembirakan.
Mengapa
kita lakukan ini? Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita adalah apa yang
kita fikirkan. Jika kita asyik fikirkan tentang kesusahan peperiksaan, kita
akan sentiasa risau dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran.
Akhirnya, kesusahan itu menjadi kenyataan.
Jadi
tukar imej susah dalam minda anda itu kepada kesudahan yang menggembirakan yang
saya katakan tadi. Insyaallah, kita akan rasa lebih tenang dan kesudahan itu
akan benar-benar menjadi kenyataan.
Selamat mencuba
Tip #5
Berlatih
dengan suasana peperiksaan
Peperiksaan PMR, SPM dan STPM akan menjelma tidak lama lagi. Kebanyakan pelajar yang
akan mengambil peperiksaan ini sudah habis belajar sukatan pelajaran
masing-masing dan sepatutnya mereka semua sudah mula membuat latih tubi untuk
menghadapi peperiksaan yang besar ini. Selain daripada melakukan sebanyak
latihan yang mungkin, apakah perkara penting yang perlu dilakukan ketika ini?
Satu
perkara penting yang patut anda lakukan ialah berlatih dengan suasana
peperiksaan. Saya selalu mendengar rungutan pelajar bahawa jika mereka lakukan
latihan di rumah, mereka boleh menjawab dengan baik, tetapi di dalam dewan
peperiksaan, lain pula jadinya. Kenapa anda mungkin hebat di rumah dan di
sekolah tetapi tidak begitu hebat semasa peperiksaan sebenar?
Ada
beberapa sebab mengapa itu terjadi. Satu sebabnya ialah anda mungkin telah
membiasakan diri dengan aktiviti yang tidak boleh dilakukan di dalam dewan
peperiksaan. Contohnya, saya ada lihat pelajar yang suka meletakkan kedua-dua
kaki mereka di atas kerusi semasa belajar. Mereka selesa belajar begitu.
Tetapi, di dalam dewan peperiksaan mereka tidak boleh buat begitu, lalu mereka
jadi tidak selesa. Bila tidak selesa, mereka tidak dapat berfikir sehebat bila
mereka belajar di rumah.
Ada yang
suka menyanyi-nyanyi dan bersiul sewaktu membuat latihan. Mereka kata mereka
selesa begitu. Tetapi, tidak boleh bersiul dalam dewan peperiksaan. Jadi,
mereka rasa tidak selesa dan akibatnya, tidak dapat menjawab dengan baik.
Apa yang
perlu anda lakukan ialah, perhatikan cara anda belajar di rumah atau ketika bersendirian.
Kenal pasti mana-mana perkara yang anda lakukan yang tidak boleh dilakukan di
dalam dewan peperiksaan. Walaupun anda selesa belajar begitu (seperti belajar
sambil meniarap), anda akan rasa tidak selesa semasa dalam dewan peperiksaan
nanti. Kemudian, perlahan-lahan hentikan perbuatan itu. Anda perlu ingat, jika
anda terlalu suka buat sesuatu yang tidak boleh dilakukan di dalam dewan
peperiksaan, anda akan rasa tertekan semasa mengambil peperiksaan nanti.
Kemudian,
berlatih duduk di satu tempat yang sesuai dan buat latihan mata pelajaran anda.
Jika boleh, wujudkan suasana peperiksaan di mana anda buat latihan itu mengikut
masa yang ditetapkan dan anda tidak membuat bising atau bergerak ke sana ke
mari. Ringkasnya, berlagak seolah-olah anda sedang menghadapi peperiksaan yang
sebenar.
Kesannya?
Seperti biasa, mula-mula anda akan rasa tidak selesa dan janggal. Namun,
setelah dilatih, anda akan mula rasa selesa malah anda akan rasa lebih mudah
untuk fokus kepada latihan anda. Kemudian, insyaallah, anda akan rasa selesa
juga di dalam dewan peperiksaan nanti.
Selamat
mencuba.
Tip #6
Teknik
meningkatkan kepantasan semasa menjawab soalan peperiksaan
Ada dua
perkara penting yang anda perlu ada untuk mendapat markah yang cemerlang di
dalam peperiksaan. Dua perkara itu ialah Kepantasan dan Ketepatan.
Saya
ingin kongsikan satu tips tentang kepantasan.Bagaimana cara meningkatkan
kepantasan? Atau saya soal dalam bentuk lain, bagaimana anda boleh menjawab
soalan dengan pantas di dalam peperiksaan?
Kepantasan
adalah amat penting terutamanya di dalam peperiksaan matematik. Satu teknik
yang boleh digunakan untuk meningkatkan kepantasan dinamakan ‘Pengulangan’
(repetition).
Contohnya,
anda sedang mengulangkaji matapelajaran matematik di bawah tajuk linear
equation. Setelah anda faham tajuk itu dan mula membuat latihan, catat masa
anda membuat latihan matematik. Katakanlah, disebabkan soalan itu susah, anda
mengambil masa 7 minit untuk menyelesaikannya. Kemudian, ambil kertas kosong
lain, selesaikan semula soalan itu. Jika anda tidak boleh selesaikan, maksudnya
anda masih tidak faham jalan penyelesaian tadi. Jika boleh, lihat masa yang
anda ambil. Masa anda ambil mungkin kurang sedikit iaitu mungkin 6 ke 7
minit.Ulang buat soalan itu sehingga anda betul-betul lancar dan masa yang anda
ambil mesti jadi semakin pendek sekurang-kurangnya separuh daripada masa mula
tadi (3.5 minit).
Anda
mungkin terfikir, “jika saya asyik ulang soalan yang sama, tentulah saya akan
jawab semakin cepat sebab saya sudah ingat jalan penyelesaiannya. Dalam
peperiksaan bukan kena jawab soalan yang sama!”Benar, anda jawab semakin cepat
kerana anda sudah ingat jalan penyelesaiannya. Tetapi sebenarnya, dalam masa
yang sama, anda akan ingat juga cara menjawab soalan begini jika anda jumpa
soalan yang lebih kurang sama bentuknya di dalam peperiksaan nanti.
Berlatih
berulang kali dengan soalan yang sama boleh meningkatkan tahap keyakinan dan
keselesaan anda. Anda akan rasa selesa untuk menjawab soalan begitu. Jadi, anda
akan dapat jawab dengan baik. Jawab soalan yang sama berulang kali juga akan
membuat anda sedar bahawa kebanyakan cara menjawab soalan peperiksaan
adalah sama sahaja. Jika anda sudah faham danmahir menyelesaikan masalah
menggunakan satu cara, cara itu juga boleh digunakan untuk soalan lain dalam
tajuk yang sama.
Selamat
mencuba.
Tip #7
Mengurangkan
tekanan perasaan menjelang peperiksaan
Peperiksaan
sudah semakin hampir. Bagaimanakah perasaan anda? Tertekan? Letih? Gementar?
Atau anda rasa gembira kerana debaran sepanjang tahun ini akan berakhir tidak
lama lagi.
Merasa
gementar atau tertekan adalah perkara biasa. Namun perkara biasa ini boleh
menjadi luar biasa jika anda tidak boleh mengawalnya. Sewaktu saya mengambil
peperiksaan SPM pada tahun 1993, ada dua pelajar daripada sekolah saya yang
tidak dapat mengambil peperiksaan. Mereka tidak sihat dan saya percaya ia
disebabkan oleh tekanan menghadapi peperiksaan. Soalan saya, apakah kesan
tekanan menghadapi peperiksaan ini? Maksud saya, apakah kesan-kesan yang anda
boleh lihat akibat tekanan perasaan? Tuliskan 10 jawapan anda di atas kertas.
Saya beri masa 3 minit untuk anda menulis kesan-kesan tekanan perasaan itu…………
(3 minit dari sekarang……………..)
(……..
dah tulis….? Jangan sambung baca selagi anda belum tulis…. nanti anda tidak
dapat faham apa yang saya ingin sampaikan dalam mesej ini.)
Baiklah.
Apa yang ada dalam senarai anda? Antara kesan-kesan yang biasa pelajar tulis
ialah pening kepala, tumbuh jerawat, cepat marah, hilang mood, hilang selera
makan,(bertambah selera makan pun ada ), sakit perut, sakit hati, hilang
tumpuan, rasa nak pengsan, benci tengok kawan, benci tengok muka guru, benci
tengok muka sendiri, dan macam-macam lagi perkara yang negatif. Ada tak
contoh-contoh ini dalam senarai anda?
Baiklah.
Satu lagi soalan saya, dalam senarai anda, ada tak kesan yang positif atau
kesan yang baik? Hmm…. selalunya, saya tidak pernah tengok pelajar tulis kesan
yang baik bila ditanya tentang kesan tekanan perasaan. Padahal, memang ada
kesan yang baik.
Apakah
kesan baik tentang tekanan perasaan? Saya akan jawab esok. Tetapi saya akan
bagi ‘hint’. Kesan positif tekanan perasaan ada kaitan dengan orang yang
membuat senaman angkat berat. Apa agaknya ya? Fikirkan……
Selamat
mencuba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan