Baca perkongsian dari Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan persediaan yang perlu anak-anak hadapi bila minat menjadi doktor.
*
“Tak payahlah jadi doktor. Jadi doktor ni tak ada life! ”
Kalau kalian tanya seorang doktor, apa persediaan yang perlu dilakukan untuk menjadi seorang doktor, inilah antara jawapan yang biasa doktor akan jawab.
Ramai doktor jawab begitu sebab profesion ni memerlukan komitmen dan pengorbanan yang agak tinggi. Ia akan banyak merampas masa, perhatian, kebajikan dan tenaga seseorang.
Tapi saya pasti, ramai ibubapa dan pelajar diluar sana masih nak tahu apa persediaan yang perlukan untuk mendaki laluan menuju profesion ni.
Saya tulis ni, cenderung untuk pelajar sekolah menengah atau ibu bapa yang ada anak yang ada impian untuk jadi doktor.
HARAPAN/TANGGAPAN:
— Profession ni seringkali dilihat sebagai pekerjaan berprestij, dihormati dan berpendapatan tinggi. Nampak seronok belajar di luar negara. Ada benarnya, namun sangat sukar sampai ke tahap itu.
— Prestij doktor terletak hanya pada sijil, hakikatnya doktor bergelumang dengan najis, darah, nanah, hingus, muntah, kahak dan segala apa jua kekotoran. Maka harus pastikan boleh hadapi benda-benda ni.
— Sebelum dihormati, doktor akan melalui saat-saat paling hina dalam hidup mereka. Dimaki pesakit, dimarahi superior, disindir petugas lain. Tak semua orang mampu tahan dugaan ini.
— Tak semua dapat peluang belajar luar di negara. Belajar di luar dugaannya sangat besar: ada terjebak dengan aktiviti kurang sihat. Ada pula yang ada masalah urus hidup dan kewangan.
— Ya, pendapatan doktor agak tinggi. Bermula sekitar RM5000 ringgit. Namun kos mengambil jurusan perubatan boleh mencecah RM1juta. Jika ia pinjaman, bayangkan berapa pula bayaran bulanan.
— Masa bekerja doktor pun agak panjang. Kalau oncall, boleh mencecah 36 jam berterusan. Tinggalkan keluarga. Tinggalkan kawan-kawan. Ada pula yang di tinggalkan kekasih. Haha!
OK, pelajar dan ibu bapa perlu mengambil kira hal ini. Bukan disandarkan pada pencapaian akademik sahaja.
PERSEDIAAN ASAS:
1— Akademik: seperti yang kalian tahu, untuk mendapatkan tempat dalam jurusan perubatan pencapaian akademik perlulah sangat baik.
Selain untuk dapat tempat, ia juga salah satu kriteria yang menentukan sama ada pelajar itu layak mendapat tajaan atau pinjaman.
Maka cuba untuk dapatkan pencapaian yang paling maksimum untuk Bahasa Inggeris, Biologi, Kimia, Fizik, Matematik Tambahan.
2— Sukan: Ramai pelajar yang nak jadi doktor hanya tumpukan pada akademik dan abaikan sukan. Hakikatnya, doktor perlu cergas dan berstamina tinggi.
Kerja 12-36 jam tanpa henti. Berjalan ke sana sini. Naik turun tangga. Angkat pesakit. CPR pesakit dengan tekan dada 100 kali seminit, selama 30 minit. Kalau tak cergas, pasti kecundang.
Di sekolah, pastikan kalian aktif dalam aktiviti sukan. Sertai apa-apa acara sukan. Beriadah setiap hari. Mula bina kecergasan dan stamina dari bangku sekolah. Kalau amat perlukannya.
3— Persatuan: Pegang jawatan dalam unit beruniform. Belajar pegang tanggungjawab. Bila kalian jadi doktor, kalian akan pegang jawatan dalam pengurusan jabatan. Kena uruskan pelbagai program.
Sertai kelab pidato, debat, catur, penulisan, seni, choral speaking, dan sebagainya. Pupuk kemahiran berkomunikasi dan kemahiran motor.
Doktor kena beri ceramah, kena jawab temuramah. Jadi kena biasakan diri bercakap di khalayak ramai.
Selain itu doktor perlu banyak lakukan prosedur rumit, jadi kawalan motor halus itu penting.
4— Pengetahuan Am: Ini perkara yang selalu diabaikan oleh pelajar. Ramai yang hanya belajar apa yang di dalam silibus sahaja. Ini tak cukup untuk jadi seorang doktor.
Seorang doktor perlu ada pengetahuan am yang luas, kerana ia kerjaya yang melibatkan berkomunikasi dengan pesakit yang pelbagai latar belakang dan pekerjaan.
Pengetahuan am yang luas, membantu doktor memahami pesakit dan penyakit. Ia juga memudahkan doktor mendapat kepercayaan dari mereka yang dirawat.
KESIMPULAN:
Dalam perubatan, seorang doktor merawat seorang pesakit bukan suatu penyakit. Ia dua hal berbeza.
Merawat seorang pesakit, doktor kena mempertimbangkan hal sosioekonomi, emosi, agama, budaya, pekerjaan, dan kebajikan pesakit.
Siapa yang ingin jadi seorang doktor perlu gunakan semua kemahiran yang ada untuk mencapai matlamat ini. Jadi, perlulah bina semua kemahiran itu dari awal.
Kerjaya doktor ini juga memerlukan ketahanan fizikal, mental dan emosi yang sangat tinggi. Doktor mesti risilien, mesti mampu galas tanggungjawab, kerana dia menguruskan kesihatan dan nyawa seseorang.
Pelajar tahu hakikat ini, dan bersedia untuk hadapinya. Ibubapa pun perlu tahu, dan tak usahlah paksa anak jadi doktor jika mereka tak berminat.
Doktor-doktor pula, tak usahlah beri jawapan yang tak galakkan pelajar untuk jadi doktor. Berilah galakkan, dan beritahu situasi sebenar. Biar pelajar nilai sendiri.
OK, itu sahaja buat kali ni. Semoga kalian menjadi doktor cemerlang yang berkhidmat untuk masyarakat!
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Sibuk, tapi ada kehidupan
***
Tiada ulasan:
Catat Ulasan