Khamis, 16 Mei 2019

Kekeliruan tentang ejaan dan sebutan "amin".

Saya kongsikan hantaran muka buku daripada Cikgu Ghalib Yunus

Kekeliruan tentang ejaan dan sebutan "amin".

Dalam hal ini, pakar bahasa terkenal negara , iaitu Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan Kembara Bahasa pernah menjelaskan hal ini. Sila baca tulisan beliau seperti yang berikut:
Ceritera di Balik Kata (12):
Penulisan "amin" sebagai pengiring doa berbagai-bagai. Ada yang menulisnya "ameen", "amiin" dan "ammin". Sebenarnya "amin" sudah berpada. Penggandaan vokal seperti "ii" dan "ee" tidak diperlukan untuk menunjukkan kepanjangan bunyi vokal. Dalam bentuk transliterasi (pengalihan aksara daripada Arab kepada Rumi), kepanjangan bunyi vokal ditandai oleh garis di atas, tetapi dalam ejaan Rumi biasa, tanda itu tidak digunakan.
Penggandaan huruf vokal dalam ejaan menyebabkan bunyinya menjadi salah kerana antara dua vokal itu sebenarnya ada bunyi "hamzah" atau "ain". Maka ejaan "ameen" menyebabkan bunyinya menjadi [a-me-en] dan "amiin" menjadi [a-mi-in]. Bandingkanlah hal itu dengan kata "saat", "taat", "fiil" yang berbunyi [sa-at], [ta-at] dan [fi-il].
Sehubungan dengan itu, ejaan "mee" bagi sejenis makanan sepatutnya dieja "mi", kerana "mee" menimbulkan bunyi [me-e], seolah-olah sebutan singkat bagi nama "Ismail" dalam bahasa perbualan.
Penggandaan konsonan "m" pula menyebabkan lahirnya bunyi sabdu, walhal tiada bunyi sabdu dalam konteks kata "amin". Maka usaha untuk menyebut kata menurut sebutan Arab yang tepat menyalahi sebutan Arab pula.
@ Awang Sariyan Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
15.10.18

Tiada ulasan:

LINK TELEGRAM NOTA PEMBELAJARAN

  https://t.me/notapembelajaran